Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyelia projek kami, En. Norhafizan yang amat berjasa dalam menjayakan projek ini dan tidak dilupakan, ahli kumpulan yang amat proaktif dan sentiasa memberi kerjasama yang padu bagi memastikan projek berjalan lancar.
FASA PERANCANGAN
Kumpulan kami mengambil keputusan untuk membuat carian melalui laman sesawang mengenai aktiviti jalinan kemasyarakatan yang boleh dijalankan di sekitar Universiti Malaya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kata putus. Beberapa aktiviti seperti aktiviti bersama anak yatim, aktiviti bersama kanak-kanak yang menghidap kanser dan sebagainya telah dicadangkan oleh ahli kumpulan. Namun begitu, harapan kami punah apabila kami menghubungi pihak-pihak yang menguruskan kumpulan sasaran tersebut. Kami diberitahu bahawa segala aktiviti oleh pihak luar tidak boleh dijalankan buat masa terdekat memandangkan isu COVID-19 pada awal bulan Mac mula berada pada tahap awal penularan. En Norhafizan yang merupakan penasihat kursus jalinan kemasyarakatan kumpulan kami telah menawarkan beberapa program jalinan kemasyarakatan yang dijalankan dibawah bimbingan beliau. Berikutan kes COVID-19 semakin meningkat setiap minggu pada bulan Mac, sebarang aktiviti bersama pihak luar menjadi semakin terhad.
Oleh yang demikian, kumpulan kami mengambil keputusan untuk menjalankan aktiviti yang ditawarkan oleh En. Norhafizan. Kumpulan kami telah mengambil bahagian dalam menjalankan aktiviti STEM yang bertemakan reka cipta dan inovasi teknologi hijau. Kumpulan kami telah bekerjasama dengan mengagihkan tugasan bagi menjayakan projek tersebut. Beberapa tugas telah diberikan dan saya telah dipertanggungjawabkan untuk membuat syarat pertandingan. Dengan membuat rujukan meluas tentang syarat-syarat pertandingan berunsurkan reka cipta di internet, saya sedikit sebanyak telah mendapat gambaran besar tentang perkara yang harus disertakan di dalam syarat-syarat pertandigan. Setelah saya selesai menyenaraikan syarat-syarat pertandingan yang penting, saya meminta pandangan beberapa ahli kumpulan sekiranya terdapat perkara yang saya terlepas pandang. Setelah itu, saya menghantar fail tersebut kepada Jason yang merupakan ketua kumpulan untuk melakukan semakan terakhir.
Perintah kawal pergerakan yang berkuatkuasa bermula 18 Mac |
FASA AKTIVITI
Rancangan projek rekacipta dan inovasi STEM yang pada awalnya akan berjalan di SMK Puchong Utama terpaksa ditukar menjadi aktiviti atas talian memandangkan seluruh rakyat malaysia pada masa tersebut diarahkan untuk berada di rumah dan melakukan penjarakan sosial. Projek kami yang pada awalnya hanya disasarkan pada pelajar SMK Puchong Utama 1 telah diluaskan kepada semua pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia berikutan sambutan yang kurang memuaskan daripada pelajar sekolah tersebut. Keputusan drastik penukaran tersebut dilakukan pada minit terakhir untuk menambah lagi bilangan peserta. Saya telah menghubungi beberapa kenalan yang mempunyai adik yang masih berada di sekolah menengah untuk menghebahkan tentang projek yang kami jalankan. Akhirnya projek kami telah disertai oleh beberapa peserta daripada MRSM, dan sekolah-sekolah menengah yang lain. Saya berasa agak sedih kerana aktiviti bermanfaat seperti ini tidak berapa mendapat sambutan sedangkan ketika itu merupakan musim cuti sekolah. Semestinya para pelajar sekolah menengah mempunyai masa lapang tapi apakan daya. Mungkin hebahan ini agak tiba-tiba dan mereka tidak ada masa yang lama untuk membuat keputusan sama ada hendak menyertai atau tidak.
Poster pertandingan |
Aktiviti dimulakan dengan sesi pembelajaran menggunakan perisian Thinkercad. Saya merasakan perisian tersebut amat berguna dan harus dipelajari bagi memudahkan proses rekaan yang biasanya hanya dilakukan di atas kertas. Melalui perisian tersebut peserta dapat melakar rekaan mereka dalam bentuk 3 dimensi. Sesi tersebut telah diajar oleh Alvin yang merupakan salah seorang ahli kumpulan kami. Kelas yang berlangsung hanya selama sejam telah digunakan sepenuhnya oleh Alvin untuk mecurahkan kemahiran menggunakan perisian tersebut. Disebabkan masa yang singkat dan untuk memudahkan peserta merujuk semula, beberapa video tutorial telah dimuat naik di dalam Google Classroom.
Sesi pembelajaran Thinkercad oleh Alvin (Lim Jing Yu) |
Setelah itu, peserta diberikan masa sehingga 31 Mei untuk membuat prototype berdasarkan rekaan yang telah dibuat di Thinkercad. Peserta digalakkan untuk menggunakan bahan kitar semula. Penggunaan kitar semula bukan sahaja dapat menyemai sikap 3R guna semula ‘reuse’ tetapi juga memudahkan peserta. Disebabkan perintah kawalan pergerakan, agak sukar untuk mereka pergi ke kedai untuk membeli bahan bagi membina prototype. Jadi lebih baik dan memudahkan kerja sekiranya mereka hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti botol dan kotak yang boleh dijumpai di rumah.
Tugasan terakhir para peserta setelah siap membina prototype produk adalah untuk merakam video pembentangan produk. Video tersebut berbentuk bebas dan tidak mempunyai deskripsi spesifik. Dengan ini peserta bebas menunjukkan kreativiti masing-masing dalam pembikinan video pembentangan. Setelah selesai kesemua tugasan, peserta diarahkan untuk menghantar video dan lakaran ke saluran yang telah disediakan. Memandangkan tempoh masa yang diberikan untuk menghantar hasil kerja agak lama, para peserta agak terlepas pandang untuk menyiapkan dan menghantar penyertaan. Cadangan saya kepada sesiapa yang bakal menjalankan aktiviti sebegini dan lebih-lebih lagi secara atas talian, adalah lebih baik sekiranya setiap peserta dipantau oleh seorang penyelaras/fasilitator projek. Oleh yang demikian, segala perkembangan para peserta sentiasa dapat dipantau.
Setelah para juri selesai membuat penilaian, majlis penyampaian hadiah dan penutupan projek telah dilangsungkan pada 5 Jun 2020. Seperti yang dijangka, seluruh Malaysia masih berada di bawah kawalan pergerakan pada tarikh tersebut. Jadi majlis tersebut terpaksa dijalankan atas talian menggunakan aplikasi Google Meet. Ketua UM STEM Centre, Ir. Dr. Mas Sahidayana binti Mokhtar telah dijemput bagi merasmikan penutupan Karnival STEM di Hatiku yang telah dijalankan. Para peserta yang berjaya memenangi pertandingan telah memenangi wang ringgit bernilai sehingga RM250 dan semua peserta diberikan sijil penyertaan. Segala pemberian hadiah telah diberikan secara atas talian sama ada melalui emel atau secara perbankan atas talian. Walaupun majlis tersebut agak unik kerana dijalankan sepenuhnya atas talian serutama sekali majlis pemberian hadiah, majlis tersebut berjalan dengan baik dan kumpulan kami berasa gembira kerana projek tersebut dapat dijalankan dengan jayanya walaupun terdapat pelbagai cabaran.
FASA SELEPAS
Akhirnya selesai sudah projek Reka Cipta dan Inovasi Teknologi Hijau bagi kursus Jalinan Kemasyarakatan ini. Bagi memperbaiki diri dan juga projek yang mungkin antara ahli kumpulan kami akan jalankan, sebuah borang penilaian telah dihantar kepada para peserta. Setelah itu kami juga membahagikan kerja terakhir sebelum iaitu laporan aktiviti dan juga pembentangan aktiviti. Saya dan sebahagian ahli kumpulan yang lain telah mengambil tugas menyiapkan laporan aktiviti manakala sebahagian lagi akan menyiapkan slide pembentangan projek. Kerja tersebut dapat disiapkan dengan pantas kerana setiap ahli kumpulan amat produktif dan menjalankan tugas sama rata. Bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Walaupun jumlah penyertaan projek yang kami jalankan tidak berapa mendapat sambutan namun kami masih dapat menimba pengalaman yang amat berharga. Terutama sekali pengalaman menganjurkan pertandingan secara atas talian sepenuhnya. Harapan saya adalah agar lebih ramai pelajar dapat menunjukkan minat yang mendalam pada subjek yang berkaitan dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik. Selain itu, saya juga berharap agar para pelajar dapat mengisi masa lapang terutama sekali ketika musim cuti sekolah untuk mempelajari perkara baru yang tidak dapat diperoleh di sekolah.
Sekian sahaja refleksi saya berkenaan projek Reka Cipta dan Inovasi Teknologi Hijau bagi kursus Jalinan Kemasyarakatan GIG1005.
‘AAINAA FATIMAH BINTI MOHD ZAINUDIN
KIG180001 // 17193090