Thursday, 18 June 2020

PUTERI SOFEA ADLYNA (KIG180148)

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera,

FASA PERANCANGAN

Pada 20 Februari 2020, En Nurhafizan (Ketua Penyelaras Subjek Jalinan Masyarakat) membuat satu perbincangan di Auditorium Blok Y tetapi beliau tidak memberitahu sesiapa pun pelajarnya bahawa beliau akan membuat perbincangan pada malam tersebut. Justeru, beberapa orang sahaja yang pergi ke perbincangan tersebut. Saya juga tidak tahu bagaimana mereka tahu bahawa terdapat perbincangan bersama beliau pada malam tersebut kerana Jadual Perbincangan yang dipaparkan di Spectrum menunjukkan tahun 2019 iaitu tahun lepas. Jadi, kami menjangkakan tiada perbincangan pada hari itu.

    Perbincangan diadakan semula pada 4 Mac 2020 di Audi Blok Y. Beliau memberi taklimat kepada semua pelajar Kejuruteraan Mekanikal pada malam tersebut dan turut memperkenalkan pensyarah yang terlibat sama dalam subjek ini seperti Dr Suriani dan lain-lain. Ketika taklimat tersebut, En. Nurhafizan menerangkan bagaimana projek ini seharusnya berlangsung dan kami dikehendaki membuat 1 kumpulan = 10 orang yang mempunyai pelbagai bangsa dan jantina. Senarai nama ahli kumpulan harus diberikan pada perjumpaan yang seterusnya (11 Mac 2020). Kumpulan saya terdiri dari pada pelbagai bangsa (Melayu, Cina dan India) dan hanya mempunyai 3 orang perempuan.

    Pada 11 Mac 2020, kami menghantar senarai nama ahli kumpulan dan berbincang dalam kumpulan untuk membuat projek di mana kerana En Nurhafizan menyuruh kami menghantar proposal projek pada minggu hadapan. Sepanjang minggu tersebut, saya, Adlina dan Aainaa membuat panggilan ke beberapa tempat yang sesuai untuk melakukan projek ini seperti Rumah Anak Yatim Shifa dan beberapa tempat lagi. Respons mereka "Maaf kami tidak menerima sebarang pelawat pada masa kini kerana virus Covid-19." Kami berasa amat sedih kerana tiada satu pon tempat yang menerima kami. 

    Tiba-tiba, pada 16 Mac 2020, seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 (Fasa 1)  kerana jangkitan virus Covid-19 yang semakin menular. Semua pelajar diminta pulang ke kediaman masing-masing pada 17 Mac 2020. Bermulalah episod di mana kami terpinga-pinga tidak tahu bagaimana untuk membuat projek jalinan masyarakat.

 Perintah Kawalan Pergerakan Bermula 18-31 Mac 2020 - Kopi Panas RTM

    Pada 23 March 2020, En Nurhafizan memberitahu di dalam whatsapp group subjek ini bahawa aktiviti bersemuka bersama masyarakat adalah tidak dibenarkan dan kami perlu menggunakan "Web 2.0 Technology"  iaitu menggunakan teknologi yang sedia ada untuk berhubung dengan masyarakat. Beliau juga ada menyenaraikan 14 aktiviti yang akan dilakukan bersama masyarakat iaitu Karnival STEM dan Digital Learning. 


Kumpulan kami memilih Karnival STEM dan telah mendapat persetujuan dari En. Nurhafizan. Kemudian, beliau membuat perbincangan dalam talian di Google Meet bersama dengan semua ketua kumpulan pada 14 April 2020, 5 petang. Di dalam mesyuarat itu, beliau memberi taklimat berkenaan apa aktiviti yang perlu dibuat, bila tarikh yang bersesuaian, dan siapakah peserta yang akan terlibat. Terdapat 5 kumpulan yang terlibat dalam Karnival STEM ini. Kumpulan kami iaitu kumpulan 5 memilih untuk membuat pertandingan Rekacipta dan Inovasi STEM bersama SMK Puchong Utama 1. Pada 22 April 2020, perbincangan atas talian bersama En Nurhafizan diteruskan. Kami menerangkan  perjalanan projek kami sehingga ke majlis penutup dan beliau bersetuju dengan idea kami. Pada keesokan harinya, kami berbincang dan membahagikan tugas dalam kumpulan. Saya diberi tugasan untuk membuat Kriteria Pemarkahan Pertandingan Rekacipta dan Inovasi STEM. Masing-masing mendapat tugas yang sama rata dan perlu dilaksanakan secepat yang mungkin. 

FASA SEMASA 

Poster dan syarat pertandingan berkenaan Karnival Stem disebarkan pada 26 Mac 2020 di SMK Puchong Utama 1. Pada awalnya tarikh tutup penyertaan adalah pada 3 Mei 2020, atas sebab kekangan masa dan kurang mendapat sambutan daripada para pelajar sekolah tersebut, maka kami memanjangkan tarikh tutup penyertaan pada 14 Mei 2020. 


Kami membuka peluang kepada pelajar sekolah lain juga untuk menyertai pertandingan tersebut. Antara sekolah-sekolah yang menyertai pertandingan kami adalah SASER, MRSM Parit, MRSM Tun Dr Ismail, SMK Danau Kota. Pada 14 Mei 2020, penyertaan pertandingan Rekabentuk & Inovasi STEM telah ditutup. Kami hanya mendapat 8 orang peserta. Kami juga berasa amat sedih kerana kami menjangkakan ramai lagi yang akan melibatkan diri dalam pertandingan ini. Apa-apa pun projek harus diteruskan seperti biasa. 

    Pada 14 Mei 2020 (9 malam), wakil daripada kumpulan kami membuat kelas untuk mengajar TinkerCad kepada para peserta. 

Tinkercad Tutorial: 5 Easy Steps for Beginners | All3DP

Para peserta menunjukkan minat yang begitu mendalam ketika kelas tersebut berlangsung. Guru yang mengajar terdiri antara kumpulan kami juga iaitu Alvin. Beliau mengajar cara melukis vacuum menggunakan botol. Memandangkan kelas itu berlangung selama 1 jam, Alvin membuat lukisan itu sangat laju kerana takut tidak mencukupi masa. Para peserta tidak perlu mengikuti pengajaran tersebut kerana itu hanyalah tutorial secara live. Alvin juga membuat pelbagai video yang menarik untuk para pelajar tersebut dan memuat naik di Google Classroom supaya para pelajar dapat rujuk video-video tersebut di luar waktu kelas. Usaha yang sangat bagus kerana memudahkan para pelajar untuk belajar ilmu yang baru.

    Selepas itu, para peserta diberikan tugasan iaitu membuat satu inovasi yang berasaskan STEM menggunakan bahan kitar semula. Masa yang diberikan untuk menyiapkan inovasi ini sehingga 31 Mei 2020. Mereka juga perlu membuat lakaran 3D di TinkerCad, membuat prototype sebenar dan mebuat video pembentangan berdasarkan inovasi masing-masing. Kriteria pemarkahan diberikan kepada para peserta supaya mereka dapat mengikuti kehendak  juri-juri. Sepanjang pertandingan tersebut berlangsung, para peserta dibenarkan untuk menghubungi mana-mana penganjur jika ada sebarang permasalahan. Pada 30 Mei 2020, kami mengingatkan para peserta bahawa tarikh penghantaran gambar Tinkercad dan video mempunyai baki lagi 1 hari. Para peserta dikehendaki memuat naik gambar TinkerCad dan video di Google Classroom. Semua peserta hantar pada masa dan tarikh yang tepat. Ini menunjukkan mereka membuat inovasi itu dengan bersungguh-sungguh. 


    Pada 1 Jun 2020, rakan saya berjaya mendapatkan maklumat tiga orang juri yang bakal menilai video dan lukisan 3D mereka iaitu Dr. Ridha, Dr Nik, dan Dr. Sayuti. Keesokan harinya, mereka memberikan pautan (link) Google Drive kepada semua juri-juri bagi memudahkan sesi pemberian markah kepada para peserta. Kami memberikan masa 3 hari untuk para juri menilai video dan lukisan para peserta. Selepas itu, rakan saya mengumpul semua markah dan membuat penilaian untuk menentukan siapakah yang akan mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga. 

    Pada 5 Jun 2020, pukul 3 petang kami mengadakan acara penyampaian hadiah sekaligus majlis penutup Karnival Stem. Kami menjemput Ketua UM Stem Centre iaitu IR. DR. Mas Sahidayana binti Mokhtar untuk merasmikan majlis penutup Karnival Stem 2020. Kami juga menjemput penyelaras projek  ini iaitu En. Nurhafizan untuk memberikan sepatah dua kata ketika majlis penutup berlangsung. Pengacara majlis pada hari itu ialah Fateh. Majlis penutup dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah bagi memberkati lagi majlis tersebut dan seterusnya disambung dengan ucapan dari ketua pelajar iaitu Anas, dan disambung dengan ucapan daripada En. Nurhafizan dan akhir sekali dirasmikan oleh IR Dr. Mas Sahidayana. Acara penyampaian hadiah dimulakan. Memandangkan majlis penutup ini adalah secara maya, maka semua hadiah yang bakal dibawa pulang oleh pemenang adalah dalam berbentuk wang ringgit yang akan disalurkan dalam bank para pemenang. Acara penyampaian hadiah dimulakan dengan kategori Quiz Stem, seterusnya Rekabentuk dan Inovasi Stem dan akhir sekali Rekabentuk Bandar Teknologi Hijau. Tempat pertama dalam pertandingan Rekabentuk dan Inovasi Stem ialah Shashmitha Mohan dan beliau membawa pulang wang ringgit sebanyak RM250 bersama sijil penyertaan.  Tempat kedua pula ialah Muhammad Fakhrurrazi dan beliau membawa pulang wang ringgit sebanyak RM150 bersama sijil penyertaan.  Tempat ketiga ialah Danesh Dharan dan beliau membawa pulang wang ringgit sebanyak RM100 bersama sijil penyertaan. Semua peserta yang terlibat akan mendapat sijil penyertaan yang akan die-mel di kemudian hari. 



FASA SELEPAS

Kami semua berasa sungguh gembira kerana pertandingan berjalan secara lancar sekali walaupon tidak mendapat sambutan yang hangat daripada para peserta pada awalnya. Kami juga berharap mereka dapat satu ilmu yang baru sepanjang aktiviti ini berlangsung (TinkerCad). Pada pendapat saya, jikalau pertandingan ini akan berlangsung lagi pada masa akan datang, terdapat beberapa benda yang perlu dibaiki:

1. Para peserta perlu mendapat 1 fasi setiap orang supaya dapat menolong mereka membuat projek tersebut sekali gus dapat memberi idea yang lagi menarik memandangkan kami sedang mengambil jurusan kejuruteraan. Para peserta juga tidak akan kekok bertanya di dalam whatsapp group jika ada sebarang permasalahan.

2. Kami juga diberikan masa yang lebih untuk menganjurkan projek ini supaya kami mendapat lagi ramai peserta. Saya merasakan projek ini akan mendapat lagi banyak peserta jika disebarkan ke seluaruh SBP & MRSM kerana mereka adalah dari aliran sains. Para pelajar yang dari aliran sains mempunyai idea yang lebih menarik ketika membuat inovasi berbanding pelajar dari aliran lain.

Selesap selesainya majlis penutup, kami satu kumpulan membahagikan tugas dalam menulis laporan dan membuat slide presentasi. Saya berasa amat bersyukur kerana mendapat ahli kumpulan yang sentiasa berkerjasama dan saling tolong-menolong antara satu sama lain sepanjang pertandingan berlangsung. Sampai di sini sahaja coretan saya dan berharap program ini akan diadakan lagi pada masa akan datang kerana ianya memberi impak yang sangat menarik kepada para peserta.

Sekian, terima kasih.

PUTERI SOFEA ADLYNA BINTI HASSAN ADLI
KIG180148 | 17111945

 






No comments:

Post a Comment