Pada mulanya, kami ingin menjalankan aktiviti penjalinan sosial ini di pusat pusat kebajikan seperti di tempat pemulihan kanser atau rumah anak-anak yatim, tetapi di sebabkan covid-19, banyak institusi telah menolak perancangan kami untuk melaksanakan aktiviti tersebut. Pada 23 Mac, akibat penularan wabak korona virus, program yang dirancang terpaksa dilaksanakan secara atas talian. Pelbagai pengalaman baharu yang dapat saya pelajari melalui pelaksanaan projek ini, antaranya adalah perihal kerjasama dalam kumpulan. Pada mulanya, semasa perbincangan di google meet pada 14 April, pelaksanaan projek STEM secara atas talian adalah agak sukar untuk digambarkan, dan ramai yang tidak memahami bagaimana projek ini akan dilaksanakan. Disebabkan kami hanya berpeluang untuk menghubungi antara satu sama lain secara atas talian sahaja, kerjasama dan komitmen daripada semua pihak adalah agak sukar untuk diperoleh, walaubagaimanapun, atas usaha pensyarah, ketua kumpulan dan semua ahli, program masih dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kami, kumpulan stem 5 telah memutuskan untuk membuat pertandingan reka cipta inovasi teknologi hijau.
Saya ditugaskan untuk membuat poster bagi program karnival stem dihatiku, disebabkan kami masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan cara baru iaitu aktiviti secara atas talian, sistem pendaftaran agak mengelirukan kerana banyak pertandingan yang dijalankan di bawah satu program. Selain itu, antara masalah yang kami hadapi sepanjang pelaksanaan program adalah bilangan penyertaan yang tidak memuaskan. Namun, hal ini dapat difahami kerana tidak semua pelajar mempunyai akses kepada internet dan disebabkan pertandingan ini memerlukan penggunaan perisian baharu iaitu TinkerCad, program ini perlu dihadkan bagi pelajar yang mempunyai internet dan komputer riba sahaja. Pada pendapat saya, untuk meningkatkan bilangan penyertaan, pertandingan yang dilaksanakan hanya memerlukan pelajar untuk membentangkan idea masing-masing melalui video sahaja. Dengan ini, dapat memudahkan pelajar untuk menyertai pertandingan kerana mereka tidak perlu memuat turun apa-apa aplikasi.Seterusnya, pada pendapat saya, pertandingan ini sebaik-baiknya melaksanakan sistem mentor mentee, setiap pelajar akan mendapat mentor masing-masing yang terdiri daripada pelajar UM. Pelajar sekolah yang menyertai pertandingan akan mendapat bimbingan yang lebih dalam membentuk idea-idea baharu dan mereka juga secara tidak langsung dapat mempelajari benda baharu daripada mentor masing-masing. Pada pendapat saya, sistem ini akan dapat meningkatkan lagi interaksi antara pelajar UM dan komuniti.
Fasa akhir
Untuk majlis penutup, banyak juga perkara yang dilakukan pada saat akhir, jadi keadaan agak kelam kabut kerana perlu buat poster, surat jemputan dan sijil. Hal ini mungkin disebabkan aktiviti yang dilakukan secara atas talian, jadi, ahli kumpulan kurang peka dengan apa yang berlaku pada pertandingan tersebut kerana hal pertandingan hanya dikemaskini melalui whatsapp berbanding dengan apabila melakukan aktiviti secara berdepan, ahli akan jadi lebih peka. Disebabkan aktivti secara atas talian juga, tempoh untuk melaksanakan program juga lebih lama, dengan tugasan-tugasan yang perlu dihabiskan untuk subjek-subjek lain, lebih banyak kerja yang perlu dilakukan.
Kesimpulannya, pelaksanaan program Karnival STEM di Hatiku secara atas talian tidak lah mudah dan masih banyak yang boleh diperbaiki. Namun begitu, program masih dapat dilaksanakan dengan jaya atas usaha semua pihak. Ini merupakan pengalaman baru yang menarik dan tidak akan dilupakan. Saya berharap agar projek akan datang dapat membuat aktiviti yang menyeronokkan yang lebih melibatkan interaksi dengan komuniti luar dan dapat memberi impak yang positif kepada masyarakat.
No comments:
Post a Comment